Penggantungan Tugas Ketua Pesuruhjaya SPRM & Siasatan Menyeluruh Pemilikan Harta & Urusniaga
Автор: Mohd Rafizi bin Ramli
Загружено: 2026-02-10
Просмотров: 33883
Описание:
Hari ini, media antarabangsa Bloomberg telah menyiarkan satu laporan mengenai pemilikan saham oleh Ketua Suruhanjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang secara terang-terangan melanggar peraturan kerajaan berhubung pemilikan saham oleh seorang pegawai tinggi penjawat awam. Berita tersebut turut dilaporkan oleh media-media lain.
Memandangkan ia berkait rapat dengan kewibawaan SPRM sebagai institusi yang diberi amanah mencegah rasuah, saya percaya kontroversi ini akan mendapat perhatian rakyat dan masyarakat antarabangsa.
Laporan Bloomberg itu mendedahkan satu pelanggaran, iaitu pemilikan 17.7 juta saham di dalam sebuah syarikat senaraian awam Velocity Capital Partners Berhad. Berdasarkan harga hari ini, 17.7 juta saham ini dianggarkan bernilai RM800,000.
Ini telah melanggar peraturan-peraturan yang mengikat penjawat awam, terutamanya yang terkandung di dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2002, yang secara khusus menyatakan bahawa 𝘀𝗲𝗼𝗿𝗮𝗻𝗴 𝗽𝗲𝗻𝗷𝗮𝘄𝗮𝘁 𝗮𝘄𝗮𝗺 𝘁𝗶𝗱𝗮𝗸 𝗯𝗼𝗹𝗲𝗵 𝗺𝗲𝗺𝗶𝗹𝗶𝗸𝗶 𝘀𝗮𝗵𝗮𝗺 𝗯𝗲𝗿𝗻𝗶𝗹𝗮𝗶 𝗹𝗲𝗯𝗶𝗵 𝗥𝗠𝟭𝟬𝟬,𝟬𝟬𝟬 𝗱𝗮𝗹𝗮𝗺 𝗺𝗮𝗻𝗮-𝗺𝗮𝗻𝗮 𝘀𝘆𝗮𝗿𝗶𝗸𝗮𝘁.
Malah, kontroversi melibatkan pemilikan saham Velocity Capital Partners Berhad ini bukan melibatkan pelanggaran peraturan penjawat awam semata-mata.
Satu perkara yang mewajarkan satu siasatan menyeluruh diadakan segera ialah urusniaga- urusniaga yang telah beberapa kali mengundang persoalan yang melibatkan beberapa syarikat kerana urusniaga-urusniaga ini dituduh melibatkan bekas Setiausaha Politik kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim, iaitu Datuk Wira Farhash Wafa Salvador.
Pada 29 Mac 2025, rekod urusniaga saham menunjukkan Farhash menjadi pemegang saham terbesar sebuah syarikat senaraian awam MMAG Holdings Berhad, dalam satu urusniaga melibatkan pembelian 462 juta saham MMAG yang dilaporkan bernilai RM184.8 juta.
Transaksi ini berlaku sehari selepas NexG Berhad (sebelumnya dikenali sebagai Datasonic Group Berhad) muncul sebagai pemegang saham utama di dalam MMAG Holdings Berhad, di dalam urusniaga membabitkan bayaran RM70 juta untuk memperolehi 173 juta saham atau 7.58% pegangan di dalam MMAG Holdings Berhad.
Ini menjadikan NexG Berhad dan Farhash pemegang-pemegang saham utama di dalam MMAG Berhad, sekali gus mewujudkan pertalian perniagaan tidak langsung di antara NexG Berhad dan Farhash melalui MMAG Berhad.
Di antara Ogos 2025 dan Oktober 2025, NexG Berhad memenangi tender kerajaan berjumlah lebih RM2.5 bilion dalam tempoh dua bulan sahaja, iaitu:
1) Kontrak enam tahun berjumlah RM1.73 bilion dari Kementerian Dalam Negeri untuk membekalkan pasport dari 1 Jun 2026 hingga 31 Mei 2032;
2) Tiga lagi kontrak awam termasuk kontrak membekalkan kad pengenalan berjumlah RM732.72 juta.
Pada 31 Disember 2025, Farhash menjual keseluruhan sahamnya di dalam MMAG Berhad. Laporan media menyatakan bahawa keseluruhan blok 462 juta saham itu sebenarnya dicagarkan kepada Velocity Capital Partner Berhad.
Saham-saham Farhash di dalam MMAG Berhad itu dijual kepada sebuah syarikat yang dimiliki oleh seorang yang berumur 25 tahun bernama Cheah Min Lly. Selepas saham-saham itu bertukar tangan, ia kekal dicagarkan kepada Velocity Capital Partner Berhad.
Ini bermakna, Velocity Capital Partner Berhad adalah syarikat peminjam wang yang terbabit dengan urusniaga yang melibatkan Farhash dan berhubung kait dengan NexG Berhad, yang mendapat tender lebih RM2.5 bilion dari kerajaan.
Pendedahan Bloomberg hari ini menunjukkan bahawa Tan Sri Azam Baki adalah seorang pemegang saham utama Velocity Capital Partner Berhad, yang meletakkan beliau di dalam jaringan urusniaga (melalui Velocity Capital Partner Berhad) yang melibatkan Farhash dan NexG Berhad (syarikat yang menerima kontrak berbilion ringgit dari kerajaan).
Maka, beberapa perkara berikut wajar diteliti oleh rakyat. Tonton video penuh untuk memahami apa perkara yang wajar kita teliti dan tindakan-tindakan segera yang perlu diambil oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Повторяем попытку...
Доступные форматы для скачивания:
Скачать видео
-
Информация по загрузке: